KEHALUSAN PEMBUATAN KUIH NYONYA LEBIH DARIPADA TRADISI SEMATA-MATA

Published
08/17/2016 by

Kewujudan kaum Baba dan Nyonya atau masyarakat Peranakan iaitu sebelum era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka membuktikan adanya asimilasi budaya atau pertembungan pengaruh cara hidup dan kebudayaan Melayu dengan Cina. Di sini, masyarakat Peranakan merujuk kepada kepada golongan penghijrahan dari China yang mengahwini wanita-wanita Melayu tempatan pada zaman tersebut.

 

Antara pengaruh besar yang boleh dilihat adalah melalui masakan Nyonya di Melaka yang mana ada sesetengah juadahnya mirip dengan masakan Melayu tetapi dipengaruhi dengan dengan ciri-ciri masakan Cina. Sesetengahnya pula telah dicipta khas oleh mereka yang tiada langsung ciri-ciri masakan kedua-dua kaum tersebut. Uniknya, masyarakat Peranakan bukan sahaja menerapkan gabungan budaya Melayu dan Cina, malah turut mencipta kebudayaan dan adat resam mereka sendiri yang cukup unik dan tidak dapat dilihat dalam cara hidup masyarakat lain.

 

Kali ini, kami ingin kongsikan dengan anda beberapa jenis kuih tradisional masyarakat Peranakan di Melaka yang patut anda cuba jika datang ke sini. Kelibat restoran dan gerai yang menjual kuih Nyonya boleh ditemui hampir disetiap sudut bandar Melaka. Berwarna-warni dan comel, kuih Nyonya hadir dalam pelbagai bentuk yang pada asalnya dihasilkan sebagai pemberian ketika penyembahan roh, mahupun sewaktu sambutan perayaan khas seperti Tahun Baru Cina. Sebagai sebahagian daripada budaya penting masyarakat Peranakan, proses pembuatan kuih ini amat rumit kerana perlu dihasilkan secara manual.

Ada beberapa lokasi yang menjual dan menawarkan juadah minum petang berkonsepkan masyarakat Peranakan. Antaranya di Melaka Nyonya Village Restaurant, Baba Charlie Nyonya Cake , Dapur Cho Cho dan banyak lagi. Kuih Nyonya merupakan salah satu daripada sebahagian masakan Nyonya yang popular dengan rupa dan nama yang agak unik. Kuih Nyonya ada yang agak sama dengan kuih muih tradisi Melayu dengan versi olahan yang dipengaruhi budaya Cina. Antara kuih Nyonya yang popular dan digemari bukan sahaja penduduk tempatan malah para pengunjung yang datang ke Melaka adalah:

 

  1. PULUT TAI TAI

Juga dikenali dengan nama pulut tekan, pulut tai tai ini sangat mudah dikenali sebagai Kuih Nyonya kerana warna birunya yang luar biasa. Pulut ditanak bersama-sama daun pandan wangi dan diwarnakan menggunakan warna biru asli yang keluar daripada kelopak bunga telang yang juga digunakan untuk memberi warna biru pada nasi kerabu oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Sebahagian pulut yang telah ditanak akan diasingkan dan diwarnakan menjadi sedikit kebiruan lalu dicampurkan pada sebahagian lagi pulut yang tidak bewarna dan akhirnya ditekan-tekan di dalam talam supaya menjadi sedikit kental dan boleh dipotong untuk dihidangkan. Pulut tai tai berwarna campuran biru dan putih ini sangat sedap kalau dimakan dengan kaya dan dihidang panas-panas. Dengan bau harum daun pandan dan keenakan kaya, pulut tai tai sering menjadi kuih kegemaran semua peringkat umur kerana rasanya yang asli dan tak terlalu manis.

 

  1. KUIH LAPIS

Kuih lapis adalah kuih Nyonya paling menarik khususnya dimata kanak-kanak. Selain berwarna warni, kuih yang dibuat berlapis-lapis ini bertekstur lembut dan mudah dikunyah serta mempunyai rasa yang lemak manis kerana ramuan utamanya terdiri daripada santan kelapa. Pembuatan kuih lapis  bukanlah satu kerja yang mudah. Seperti namanya juga, kuih yang cantik berlapis-lapis ini memerlukan masa, kesabaran dan fokus yang tinggi. Setiap lapisan perlu dikukus untuk jangka masa tertentu bagi membolehkan lapisan yang dah kental tadi dapat menampung curahan lapisan yang berikutnya di atas lapisan telah masak.  Hasilnya, maka jadilah kuih lapis yang sangat sedap, lembut dan menyelarakan!

 

  1. PULUT INTI

Kuih berbentuk seperti nasi lemak kecil atau piramid ini diperbuat daripada pulut tanak yang dibungkus menggunakan daun pisang dengan kejutan topping berupa inti kelapa diatasnya yang diperbuat daripada kelapa parut dan gula Melaka yang manis rasanya. Seperti pulut tai tai, sesetengah Bibik Nyonya atau pembuatnya akan memberi warna biru pada pulut menggunakan bunga telang. Inti kelapa parut juga menambah warna unik, iaitu coklat keperangan hasil campuran gula Melaka yang dimasak dengan kelapa parut. Pulut inti sedap dimakan panas-panas, atau lepas sahaja dikeluarkan daripada pengukus. Kehangatan pulut akan menyerap aroma daun pisang yang digunakan untuk membungkusnya sekaligus menaikkan rasa dan beri aroma wangi pada pulut inti.

 

  1. KUIH ANG KU

Popular dikalangan kaum Cina juga, kuih ang ku sangat senang dikenali disebabkan warnanya yang terang dan bentuknya yang unik. Selalunya berwarna merah menyala, oren atau hijau dan ada juga yang diterap perkataan Cina dibahagian kulit luarnya menggunakan acuan khas. Juga dikenali sebagai kuih kura-kura merah sebab bentuk dan rupanya yang menyerupai kura-kura. Kuih ang ku biasanya berinti pes kacang manis dan ada yang berintikan kacang tumbuk. Kuih ang ku juga sering menjadi juadah bagi kaum Cina dan masyarakat Peranakan ketika merayakan Tahun Baru Cina mahupun ketika sambutan ulangtahun kelahiran yang melambangkan panjang usia dan kemakmuran.

 

  1. KUIH BINGKA

Kuih bingka diperbuat daripada ubi kayu yang juga dipanggil bingka ubi oleh sesetengah orang. Biasanya berwarna sedikit kuning perang, kadangkala ditambahkan dengan sedikit pewarna lain untuk menaikkan serinya, kuih bingka bertekstur sedikit kenyal dan cukup enak dimakan. Walaupun kelihatan agak plain dan rupa yang biasa, kuih bingka beraroma harum dengan rasa yang lemak manis. Kuih bingka diperbuat daripada ramuan ubi kisar atau diparut, santan kelapa, gula dan pandan wangi. Kandungan gula dalam adunan kuih bingka memainkan peranan untuk menghasilkan kuih bingka yang nampak glossy sementara santan kelapa pula menaikkan rasa lemak setiap kali dimakan.

 

  1. KUIH TALAM

Walaupun kelihatan biasa, kuih talam menjadi antara kuih paling popular di Malaysia. Dinamakan kuih talam kerana proses pembuatannya memerlukan adunan dimasukkan dalam talam atau loyang lalu dikukus. Kuih talam lazimnya dibuat berlapis dua iaitu satu lapisan bawah yang manis dan satu lapisan atas warna putih yang lemak masin. Kedua-dua lapisan ini dibuat menggunakan adunan berbeza. Lapisan putih terdiri daripada santan kelapa yang diperasakan sedikit masin menjadikannya rasa berlemak dan lapisan bawah pula mengimbangi rasa lemak dengan adunan yang dibuat manis kemudian ditambah pewarna dan aroma daun pandan.

7.   KUIH SERI MUKA

Walaupun warnanya kadang-kadang agak sama, kuih seri muka tidak sama dengan kuih talam. Rasanya yang manis diimbangi dengan kombinasi aroma pandan wangi, santan kelapa dan pulut tanak menjadikan kuih seri muka begitu sedap dan menyelerakan sesiapa sahaja. Lapisan bawah dibuat daripada pulut yang ditanak bersama daun pandan untuk memberi aroma wangi. Kadangkala diwarnakan dengan warna bunga telang juga oleh Bibik Nyonya. Manakala bahagian atasnya pula bewarna hijau kesan daripada jus pandan wangi yang diadun dengan kuning telur, gula dan beberapa bahan lain sebelum dituang  pada lapisan pulut yang telah ditekan di dalam talam.

8.   KUIH DADAR

Juga dikenali sebagai kuih tayap atau dader oleh Baba Nyonya, kuih ini diperbuat daripada gulungan lempeng adunan jus pandan dan tepung di dalamnya. Berintikan kelapa parut yang dimasak dengan gula Melaka, bahan utama adunan kuih dadar adalah daun pandan yang menghasilkan kulit atau lempeng berwarna hijau yang cantik. Kuih dadar amat mudah dibuat dan menjadi kegemaran kaum-kaum lain juga selain Baba dan Nyonya.

9.   TAT NENAS

Tat Nyonya di Melaka amat popular dan sering jadi rebutan para pelancong. Ada pelbagai cara untuk menghasilkan kuih ini, ada yang dohnya dicanai kemudian digulung dengan dalamnya berisi inti jem nenas dan ada juga yang menggunakan acuan bentuk bunga yang cantik. Dengan rupa yang cantik, rasa yang lazat dan aromanya yang begitu harum, tat nenas buatan Bibik Nyonya berintikan jem nenas adalah sangat istimewa dan kulit pastry yang bertekstur rangup diluar diperakui ramai dan merupakan snek yang paling enak untuk dicuba bila berkunjung ke Jonker Walk. Jangan lupa untuk singgah ke LW Nyonya Pineapple Tarts House untuk rasa dan beli untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh untuk keluarga dan rakan-rakan.

 

10.  KUIH BONGKONG

Kuih bongkong atau kuih jongkong ni hanya ada di Melaka! Juga popular dikalangan orang-orang Melayu, kuih ini bertekstur lembut licin macam puding atau tofu dan mempunyai rasa unik dengan gabungan rasa lemak manis. Rasa lemak datang daripada adunan santan kelapa manakala rasa manis pula daripada kuahnya iaitu air gula Melaka. Beza kuih bongkong buatan Baba dan Nyonya dengan kuih bongkong Melayu ialah pada warnanya. Bibik Nyonya biasanya akan mewarnakan kuih bongkong dengan warna biru asli daripada bunga telang.

11.  PAI TEE

Pai tee adalah kuih istimewa kaum peranakan Baba Nyonya. Dipanggil top hat oleh sesetengah orang kerana rupa bentuknya menyerupai topi, pai tee mempunyai bahan asas yang agak sama dengan adunan untuk membuat kuih ros atau kuih goyang cuma tanpa campuran santan kelapa dan gula. Kelongsong atau kulit pai tee dibuat menggunakan acuan khas. Pai tee biasanya  berintikan sayur-sayuran seperti inti popia iaitu taugeh, lobak merah, dan boleh juga ditambah dengan udang, daging atau ayam dan amat digemari oleh kanak-kanak. Sedap kalau dimakan panas-panas, pai tee mesti dihidang dengan kuah sos pedas manis.

 

12. ONDE-ONDE

Onde-onde juga dikenali sebagai kuih buah Melaka yang diperbuat daripada tepung beras pulut, gula Melaka, garam, air dan jus pandan untuk menambah warna dan memberi aroma harum. Nama kuih onde-onde datangnya dari cara menghasilnya di mana adunan digentel bulat berbentuk buah pokok melaka. Onde-onde disaluti kelapa muda yang diparut dan mesti dimakan sebiji sekaligus. Sekali gigit, tepungnya yang lembut merembeskan cecair manis seakan-akan warna karamel. Aduh, sedapnya!

 

13. REMPAH UDANG

Juga dipanggil pulut panggang oleh orang-orang Melayu, kuih ini juga begitu sinonim dengan kaum Baba Nyonya. Rempah udang dibuat daripada pulut tanak berinti serunding kelapa yang dimasak dengan pes udang kemudian dipanggang atas bara. Intinya akan dimasak dengana rempah sehingga kering dan disumbat dalam pulut yang dibentuk silinder kemudian dibalut dengan daun pisang sebelum dipanggang sampai masak. Keenakan rempah udang terletak pada serunding udangnya yang rasa lemak berempah, sedikit manis pedas dan masin yang diimbangi rasa pulut yang plain dibahagian luarnya.

 

Ada banyak lagi kuih Nyonya yang bakal kami tonjolkan di dalam artikel yang akan datang. Jadi, kepada anda yang merancang nak bercuti di Melaka, jangan lupa untuk cari dan rasai sendiri Kuih Nyonya di Melaka yang gerenti sedap-sedap dan comel. Seperti biasa, bila anda terjumpa gerai-gerai atau kedai menjual Kuih Nyonya,  jangan lupa untuk berkongsi gambar-gambar menarik anda ,lokasinya dan gambar-gambar kuih-kuih tersebut ke instagram kami kerana kitakan #fabulousmelaka!

 

Melaka Nyonya Village Restaurant

Alamat: 178, Jalan Parameswara,

Taman Melaka Raya,

75000 Melaka

No. Tel : 06-2831179

 

Baba Charlie Nyonya Cake

Alamat: 72, Lorong Tengkera Pantai 2c,

Kampung Tengkera Pantai Dua,

75200 Melaka

No. Tel: 019-6662907

 

 

Dapur Cho Cho
84-3 Jalan Taman Merdeka,

Batu Berendam, Melaka
Tel +6012 276 8606 / +6016 317 0935